Thursday, 10 March 2016

Review Novel Duda Terlajak Laris

Assalamualaikum semua...

Hari ni aku buat review sikit pasal novel bertajuk Duda Terlajak Laris karya Aifa Batrisya. Bukan takat review je, aku buat sinopsis pendeklah dari apa yang aku baca.

Umurnya baru cecah 18 tahun, Zafran Aldrin (Zack) terpaksa berkahwin dengan Pehah hanya disebabkan sebiji mentol. Zack ditangkap basah dengan Pehah apabila sahabat baik Zack, Bob menyuruhnya menukar mentol di rumah adik angkatnya, Pehah. Zack dipaksa berkahwin untuk menjaga air muka Tok Ayah yang merupakan imam masjid di Kampung Batu Lima. Zack tidak dapat menerima dia terpaksa berkahwin kerana rancangan Pehah itu yang menjerat dirinya. Sehari selepas mereka berkahwin, Zack tinggalkan Pehah dan balik ke rumah ibu bapanya. Zack mengambil keputusan untuk lari ke Aussie, Australia dan tinggal bersama kakaknya, Zainura sambil menyambung pelajarannya di sana.

Dua tahun berlalu, Zack pulang ke Malaysia selepas mendapat khabar bahawa Tok Ayah yang disayanginya meninggal dunia. Kemudiannya, Zack menceraikan Pehah dengan talak satu tanpa sebab yang kukuh. Ibu bapa Zack berkeras mahu Zack dengan Pehah rujuk kembali tetapi mereka perlu berkahwin dengan mahar yang baru semula disebabkan mereka tak pernah ehem.. (Paham sendirilah. Korang ada belajar agama en..). Pehah berdoa agar suatu hari nanti Zack akan mencari dan kembali pada dirinya.

8 tahun berlalu, Zack masih menjadi duda berhias dan tiada pasangan hidup lagi. Ibu Zack mahukan Zack berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Beberapa kali Zack putus tunang sehingga ibunya hampir putus asa. Zainura memperkenalkan Idayu pada keluarga mereka. Idayu telah lama menyukai Zack sejak mereka di Aussie lagi. Zack hanya menerima sahaja dia ditunangkan dengan Idayu. Dan pada waktu ini, muncul Anis Nabihah. Zack cuba mendekati Anis untuk memastikan yang Anis bukannya Pehah, bekas jandanya dulu. Idayu salah faham lalu meninggal dunia apabila dia terjatuh dari tangga dan dilanggar oleh bas. Zack rasa serba salah dan Anis yang menjadi kawan baiknya ketika itu.

Pada suatu hari, Zack sakit gigi dan pergi ke klinik gigi Nas Murni. Zack terpegun melihat seorang doktor gigi yang berpudah bernama Inas itu. Zack seolah-olah mengenalinya tetapi Inas berkeras tidak pernah berjumpa dengan Zack. Zack dapat tahu bahawa Inas merupakan adik kepada Anis. Zack mahu mengenali Inas apabila dia merasakan sesuatu yang pelik dan mula menyukai Inas. Zack membuat perancangan untuk membawa Anis bercuti dan Inas mesti turut serta.

Ibu bapa Zack mendapat tahu Zack membawa Anis bercuti dan menyuruh Zack berkahwin dengan Anis sebelum apa-apa terjadi. Zack hanya mengikut rancangan orang tuanya dan pergi berjumpa dengan ibu bapa Anis di Indonesia. Di sanalah, rahsia yang cuba Inas sembunyikan terbongkar apabila bapa Anis dan Inas beritahu pada Zack bahawa Pehah itu Inas Fasihah, jandanya. Zack menjadi keliru kerana jatuh hati pada jandanya sendiri. Dia juga risau kerana Anis tidak tahu yang dia adalah bekas adik iparnya.

Zack cuba untuk memenangi hati Inas dan membetulkan keadaan sebelum dia menikahi Anis. Inas tidak mahu melukai hati kakaknya dan dia membuat keputusan untuk bertunang dengan Bob. Zack hanya pasrah.

Pada hari perkahwinannya dengan Anis, Zack sangat terkejut apabila Inas yang menjadi pengantin perempuan bukannya Anis. Selepas selesai majlis akad, Zack meminta penjelasan daripada Anis. Anis mengaku yang dia sudah tahu bahawa Zack bekas adik iparnya ketika mereka di Indonesia dan dia tahu bahawa adiknya, Inas masih sayangkan Zack. Anis jugalah yang membuat perancangan dengan Bob untuk mengorek rahsia hati Zack. Zack berasa sangat terharu dan berjanji tidak akan mensia-siakan Inas lagi.

Setahun kemudian, Inas mengandung anak mereka dan Bob berkahwin dengan Anis. Selama ini, Bob mahu menjadikan Inas adik angkatnya kerana Bob sukakan Anis dan hanya menjadikan Inas sebagai alasan untuk mendekati Anis. Dan akhirnya, hidup mereka bahagia. Zack percaya bahawa setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan mereka berhak diberi peluang kedua..

Tamat...

Wassalam..:)

No comments:

Post a Comment